Perayaan pada malam pertama Gawai Dayak Hari_Gawai

Kira-kira jam 6 petang 31hb Mei, gong akan dipukul untuk mengumumkan permulaan upacara sambutan Gawai Dayak kepada semua orang.

Acara ringkas membuang roh hantu pembaziran yang dipanggil "Antu Rua" oleh kaum Iban akan dilakukan dengan mengheret sebuah penampi oleh dua orang budak atau lelaki supaya setiap keluarga boleh membuang sesuatu barang yang tidak berguna lagi untuk roh itu supaya ia tidak mengganggu perjalanan perayaan pesta gawai seterusnya selepas barang-barang itu dipersembahkan untuknya.

Seterusnya akan dilakukan upacara sajian dan penyembahan, yang dipanggil "miring" atau "bedara" oleh kaum Iban, di setiap bilik keluarga secara bergilir-gilir dari bilik ke bilik sepanjang rumah panjang atau kampung. Upacara ini bertujuan sebagai tanda kesyukuran untuk tahun yang telah berakhir dan memohon panjang umur, kesihatan dan rezeki pada tahun akan datang.

Bagi mereka yang ada mendapat ubat dan pengaroh (azimat) terbaru, mereka bolehlah terus membuat kesyukuran atas pemberian barangan itu bersama sekali. Sekarang ini, beg duit juga akan dikeluarkan bersama sewaktu upacara sajian ini untuk mendoakan rezeki yang lebih baik pada masa akan datang.

Bagi kaum Iban, pelbagai bahan sajian persembahan tradisi kepada dewa-dewa mereka termasuklah daun rokok dan tembakau, daun sirih dan buah pinang, ketupat dan sungkoi, penganan dan tumpi, nasi pulut dan nasi manis, cuwan dan sarang semut, rendai, telur ayam dimasak dan tuak selainnya. Bilangan setiap jenis barangan sajian ini selalunya bergantung kepada berapa ramai dewa yang dijemput hadir dan untuk Gawai Dayak adalah 5 biji sebagai sajian untuk tujuan memohon ampun dan pergi berusaha pada tahun hadapan. Jumlah agihan sajian bergantung kepada berapa tempat yang ingin diberikan sajian biasanya pada empat sudut bilik besar, satu di atas dapur, satu di atas tempayan beras, satu di ruai, satu di verandah, satu di huma atau sawah, satu di kebun, satu pada kenderaan dan satu sajian untuk setiap harta yang dimiliki jika ada.

Komuniti Dayak percaya pada seorang Bunsu Kree Petara dan ada tujuh orang dewa-dewa utama iaitu: dewa kegagahan dan peperangan yang digelar Sengalang Burong, dewa pertanian untuk hasil tuaian yang lumayan iaitu dipanggil Sempulang Gana, dewa kesihatan dan panjang umur yang bernama Menjaya Manang, dewa kekayaan dengan namanya Anda Mara, dewa pembuatan dan kesuburan yang dipanggil Selampandai, dewa kepercayaan yang disebut Biku Bunsu Petara dan akhir sekali Ini Inee/Andan sebagai seorang doktor semulajadi dan dewa keadilan. [3] Inilah sebabnya komuniti Dayak akan membilang dari satu hingga tujuh bila memulakan doa.

Untuk memulakan upacara sajian persembahan kepada para dewa, seekor ayam akan dihayunkan di atas kepala semua yang hadir. Hanya orang-orang terhormat dijemput menyajikan bahan-bahan persembahan itu ke dalam pingan tembikar atau bakul kulit buluh. Mereka akan membuang separuh air tuak sebagai "pedara" dalam beberapa gelas dan separuh lagi diminum oleh mereka sendiri. Air tuak yang dibuang ke tanah itu adalah diberikan kepada para dewa, orang kenamaan kayangan dan roh nenak-moyang untuk memberitahu upacara sajian akan dilakukan. Rendai akan ditaburkan untuk memberitahu upacara sajian bermula. Ada turutan atau giliran untuk mengambil bahan-bahan itu supaya nampak ada perhiasan pada sajian persembahan itu. Selalunya penganan akan diletakkan di tengah-tengah pingan diikuti oleh daun rokok dengan tembakau, daun sirih dibalut kapur dengan buah pinang, ketupat dan sungkoi, tumpi, nasi pulut dan nasi manis, rendai, telur ayam dan akhir sekali tuak ditaburkan atau disimpan dalam cawan ruas buluh.

Setelah sajian untuk para dewa siap dibahagikan mengikut bilangan yang betul dan agihan yang cukup, ketua rumah panjang atau kampung akan membaca doa sambil memegang dan menghayunkan seekor ayam di atas sajian tadi. Selesai saja doa ini, ayam tersebut akan disembelih dan bulu-bulu sayapnya akan dilumuri darah ayam itu sebelum diletakkan pada bahan persembahan tadi. Ayam itu boleh dibersihkan untuk dimasak sebagai jamuan atau dipanggang terus untuk semua yang hadir pada upacara sajian itu. Sajian para dewa itu akhirnya digantung pada tempat-tempat tertentu. Bagi orang Dayak yang telah memeluk agama Kristen, mereka akan bersembahyang untuk menggantikan upacara persembahan sajian ini.

Selepas itu, makan malam untuk seisi keluarga bagi setiap bilik dalam rumah panjang atau setiap rumah dalam sesebuah kampung akan menyusuri. Inilah makan malam besar yang wajib dihadir semua keluarga setelah lama tidak berjumpa dan masing-masing mencari rezeki di mana-mana boleh. Makan malam ini boleh diadakan di ruai setiap bilik rumah panjang supaya boleh makan beramai-ramai di sepanjang ruai rumah panjang. Bagi orang kampung, mereka boleh makan di sesebuah buah rumah atau di balai raya masyarakat. Maljis makan ini adalah di lantai ruai rumah yang dibentangkan tikar-tikar untuk duduk walaupun sekarang meja dan kerusi ada digunakan untuk yang mampu membeli. Biasanya komuniti Dayak makan dengan menggunakan tangan dan air basuh tangan akan disediakan.

Selepas makan malam, acara perayaan Gawai Dayak akan bermula secara rasmi. Jadi, acara-acara rasmi yang telah persetujui sewaktu mesyuarat komiti rumah panjang akan dilaksanakan satu demi satu. Satu acara penting tepat jam 12 malam adalah meminum air panjang umur. Tetapi sementara menunggu kedatangan tengah malam itu, beberapa acara rasmi akan diadakan seperti berkumpul di ruai ketua rumah panjang atau di balai raya kampung, perarakan menyambut para dewa, pertandingan ratu cantik dan permainan sukaria terutamanya untuk kanak-kanak jika sempat.

Tawak akan dipukul untuk memanggil semua penghuni rumah panjang supaya datang duduk di ruai ketua rumh panjang taua di balai raya kampung. Mulanya, semua orang-orang utama akan duduk berbaris sepanjang di dinding ruai atas dalam upacara duduk berbaris yang dipanggil "bedigir" oleh kaum Iban. Setelah itu, peraturan-peraturan khas dengan hukumannya sekali akan diumumkan kepada semua hadirin supaya perayaan gawai berjalan dengan lancar tanpa gangguan, pergaduhan dan malapetaka yang luarbiasa. Acara ini dipanggil "begeliga" oleh kaum Iban.

Berikutnya, ketua rumah panjang atau kampung akan berucap kepada semua anak buahnya dan diikuti oleh anak-anak buah yang telah berjaya dalam persekolahan dan kehidupan mereka. Tujuan semua ucapan itu adalah untuk memuji kejayaan pada tahun yang sudah-sudah dan memberi motivasi serta galakan kepada semua untuk berusaha mencapai kejayaan dalam hidup pada masa akan datang. Anak-anak murid sekolah yang telah berjaya dalam peperiksaan selalunya akan diberikan hadiah wang tunai sebagai galakan.

Sebelum tibanya tengah malam, satu perarakan untuk menyambut kedatangan para dewa akan diadakan sepanjang rumah panjang atau balai raya sebanyak tujuh kali. Pakaian tradisi dengan perhiasan logam duit siling, logam perak, kulit siput dan manik akan dikenakan. Contohnya, orang lelaki kaum Iban akan memakai cawat sirat, baju burung, baju perisai kulit "gagong", topi lelanjang (berhiaskan bulu burung merak dan kenyalang) dan hiasan perak serta dilengkapi oleh sebuah perisai, sebilah parang dan tombak. Orang perempuan kaum Iban pula memakai kain tenunan betating pada pinggang, perisai tembaga (rawai tinggi) pada tubuh, selendang selampai, rantai laboh (marik empang), sikat sugu tinggi, tali pinggang (lampit pirak), anting-anting perak dan gelang-gelang perak pada lengan dan kaki. Tubuh badan kaum lelaki selalunya sudah diukir dengan corak-corak tradisi seperti hidupan darat dan laut sebelum itu mengikut pengembaraan dan pengalaman seseorang itu [4] atau diukir sementara waktu untuk acara ini.

Pada waktu perarakan itu, pertandingan Kumang dan Keling boleh diadakan untuk memilih seorang pemenang perempuan dan lelaki yang akan masing-masing digelar "Kumang Gawai" dan "Keling Gawai" bersama hadiah-hadiah yang diberikan. Gelaran ini sungguh bermakna bagi kaum Iban kerana Kumang dan Keling adalah heroin dan hero mistik yang tinggal di dunia kayangan dan selalu memberikan petolongan dalam kehidupan kaum Iban pada masa lampau.

Sementara itu, makanan dan minuman tradisi yang telah disediakan sebelum ini akan terus dihidangkan kepada sesiapa yang ingin menjamu selera. Ahli-ahli keluarga dan sahabat handai mula datang berkunjung dan melawat dalam acara rumah terbuka yang akan diteruskan untuk beberapa hari berikutnya. Acara tradisi kunjung -mengunjungi ini dipanggil "ngabang" oleh kaum Iban untuk semua rumah=rumah panajng dan lampung yang semakan dengan sesebuah rumah panjang.

Tepat jam 12 malam pada 31hb Mei, sebuah gong akan dipukul untuk memberitahu semua orang supaya bersedia dengan minuman panjang umur masing-masing. Ketua rumah panjang atau kampung akan dilantik untuk membacakan doa jampi supaya minuman itu memberikan panjang umur, kesihatan dan rezeki kekayaan pada tahun akan datang. Bagi kaum Iban, air panjang umur yang dipanggil "ai pengayu" akan ditimang oleh lemambang (pemuisi) sebelum diminum oleh orang ramai. Biasanya tuak akan dijadikan air panjang umur dan selepas itu, minuman jenis lain seperti yang berjenama mahal-mahal belaka akan dibahagikan. Mulanya semua hadirin bersalaman untuk mengucapkan "Selamat Hari Gawai" dan diikuti oleh ungkupan pendek "Gayu-guru, Ngerai-Nyamai dan Senang-lantang nguan menoa" yang bermaksud "Semoga panjang umur, sihat walafiat dan murah rezeki ketika hidup di dunia".

Selepas tengah malam, suasana akan dimeriahkan lagi dengan acara pokok kehidupan, pertandingan tarian tradisi seperti ngajat dan datun jalut, meminum tuak dan menyumpit serta permainan bersukaria.

Salah satu acara utama yang sentiasa diadakan ialah mendirikan sebatang pokok kehidupan yang dikenali sebagai "ranyai" oleh kaum Iban di tengah-tengah ruai selalunya di ruai ketua rumah panjang atau di balai raya kampung jika belum didirikan pada siang hari tadi. Pokok ini diperbuat daripada bahagian pucuk kelapa, aping, rumbia atau pohon pisang di mana umbutnya boleh dimasak dan dimakan bersama oleh orang ramai. Sebiji gong akan dipukul untuk mengajak semua orang mendirikan pokok itu bersama-sama dan membawa sumbangan masing-masing untuk digantung sebagai buah-buah pokok itu. Pokok ini mestilah lebat buahnya untuk untuk menggembirakan rombongan para dewa, para jemputan dan para hadirin sekalian.

Pokok ranyai itu akan dihiasi dengan menggantungkan buah-buahnya yang berupa sumbangan makanan dan minuman untuk dicantas dan diambil oleh para penari ngajat yang menari mengelilingi pokok itu sebagai hadiah. Beberapa biji buah kelapa selalunya turut digantungkan pada pokok itu sebagai lambang kepala musuh sewaktu masa dahulu. Jadi, para penari lelaki bolehlah secara simbolik memenggal kepala musuh yang diwakili oleh buah-buah kelapa itu. Sebenarnya, dikatakan asal-usul tarian ngajat adalah daripada budaya mengayau pada dahulu kala di mana para pengayau yang berjaya dialu-alukan dengan muzik tradisi dan mereka yang gembira menari-nari meraikan kejayaan itu.

Pertandingan tarian tradisi boleh diadakan pada waktu menari mengelilingi pokok ranyai ini. Tarian ngajat ada beberapa jenis seperti ngajat perempuan, ngajat lelaki, ngajat pua kumbu, ngajat lesong, ngajat pahlawan, ngajat bebunuh dan sebagainya mengikut kreativiti si penari. Selain tarian ngajat, orang lelaki bolehlah menunjukkan seni mempertahankan diri seperti kuntau (silat jari) dan penca (silat parang).

Tarian tradisi ini diiringi oleh muzik tradisi. Bagi kaum Iban, set muzik tradisinya terdiri daripada satu set engkerumong (gong kecil), sebiji tawak (gong besar), sebuah bebendai (gong leper) dan sebatang gendang. Sape adalah alat muzik kaum Orang Ulu yang dimainkan untuk tarian tradisi yang dipanggil "datun jalut" dan "nganjak lansan".

Jika dipersetujui oleh semua, sebuah bakul dikaitkan pada pokok itu untuk para penari memberi sumbangan derma untuk komiti rumah panjang atau kampung. Wang derma ini boleh digunakan untuk tujuan kebajikan ahli-ahli rumah panjang pada masa-masa kesulitan seperti sakit tenat atau kematian, atau untuk projek-projek khas seperti membeli alat pencegah kebakaran rumah panjang atau kampung.

Satu lagi acara pada pokok "ranyai" itu ialah menyediakan sebiji batu geseran di dalam sebuah dulang berair. Memang sudah menjadi tradisi, batu yang agak kasar sedikit digunakan oleh kaum perempuan menggeser kulit untuk membuang daki sewaktu mandi. Jadi, sesiapa boleh menggeser bahagian belakang atas sendiri dengan batu itu sebagai tanda simbolik untuk mendoakan "kesejukan" atau keselamatan dalam kehidupannyan pada masa akan datang.

Selain itu, acara untuk orang-orang dewasa Dayak yang berbakat dalam mainan suara puisi rakyat selalunya disertakan untuk memeriahkan suasana sambutan Gawai Dayak dan menyuburkan warisan kebudayaan komuniti Dayak sendiri. Misalannya, puisi-puisi rakyat kaum Iban termasuklah pantun, pelandai, ramban dan sebagainya.[5]

Salah satu acara kesukaan ramai sekarang adalah pertandingan menyumpit menggunakan sebatang sumpitan dan anak panahnya yang dipanggil "laja" oleh kaum Iban. Sumpit adalah sebatang kayu lurus sepanjang kira-kira 9 kaki dan yang digerudi pada tengah-tengahnya. Pada masa dahulu, sumpit digunakan untuk memburu binatang buas dan burung liar pada masa dahulu kerana hujung anak panahnya direndam dalam sejenis racun daripada kulit kayu hutan. Kawasan yang terkena sekitar anak panah beracun itu akan dibuang secepat mungkin bagi mengelak bahaya daripada dimakan. Sekarang ini, sasaran pertandingan menyumpit bolehlah berupa belon, tembikai atau mentimun.

Permainan sukaria tradisi biasanya diadakan untuk orang dewasa seperti pertandingan meminum tuak, lawan lengan (bibat lengan), lawan kaki (bapatis), tarik sebatang kayu (Batarit lampong) dan tarik tali. Pada zaman sekarang, permainan sukaria kanak-kanak adalah seperti bersembunyi dan mencari, berlari dalam guni, berlari berpasangan dengan sebelah kaki diikat bersama, meniup belon dan kerusi muzik. Acara permainan ini boleh diadakan pada keesokan harinya jika masa tidak mengizinkan pada malam 31hb Mei terutamanya jika acara pokok ranyai menjadi panjang kerana kemeriahan dan keseronokannya yang menghiburkan semua.

Sambutan Gawai Dayak pada malam 31hb Mei berakhir dengan "penebangan" pokok "ranyai" bila malam telah menjelang sumbuh. Hanya seorang tua yang berstatus tinggi dan dihormati akan disuruh menebang batang pokok itu. Penari ngajat yang lain hanya boleh mencantas dahan-dahan pokok itu dan buah-buahnya. Selalunya seekor ayam akan turut disertakan pada pokok itu. Jadi, ayam ini akan disembelih bila tumbangnya pokok itu dan dibersihkan untuk dimasak bersama-sama oleh orang ramai sebelum bersurai untuk berehat atau tidur kerana acara hari esok sedang menanti.